Latar belakang Pertempuran Otranto

Dengan kematian Skanderbeg, Venezia telah mengambi alih sebahagian besar kawasan perairan Balkan. Perkara ini merupakan rentetan daripada peristiwa Perang Uthmaniyyah-Venezia yang berlarutan dari tahun 1463 hingga 1479. Kesannya, Venezia menanggung kerugian yang tinggi dan dipaksa untuk memeterai Perjanjian Constantinople. Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menguasai kawasan Euboea, Lemnos dan sebahagian besar Albania. Konflik Uthmaniyyah dengan putera Moldavia, Stefan III telah mereda. Jadi, Uthmaniyyah mula menumpukan sasarannya ke arah Kerajaan Hungary yang pada masa itu diperintah oleh Matthias I. Hungary boleh dikatakan sebagai salah satu kerajaan terkuat di Eropah sambil memiliki legenda Tentera Hitam yang mempertahankan kerajaan tersebut. Beberapa siri penyerbuan ke atas Transylvania dan Wallachia oleh Uthmaniyyah telah dijalankan pada masa itu. Akhirnya, Matthias telah mengurniakan voivode Transylvania kepada Stefan V Báthory. Stefan memiliki jumlah tentera yang cukup menyamai tentera Uthmaniyyah dalam Pertempuran Breadfield pada 13 Oktober 1479.

Oleh kerana Uthmaniyyah sering menggunakan sempadan negeri lindungannya untuk melancarkan serangan-serangan kecil, serangan ke atas Hungary telah ditunda berikutan kekalahan Uthmaniyyah dalam Pertempuran Breadfield. Sultan Muhammad al-Fatih telah menetapkan untuk mengukuhkan kedudukannya di Mediterranean dan merancang untuk menakluk Itali. Menurut beberapa sumber, kota Rom merupakan sasaran Sultan Muhammad al-Fatih setelah beliau berjaya menguasai kota Constantinople. Perpecahan yang berlaku di Itali dan tanah Albania yang baru diperoleh Uthmaniyyah dapat dijadikan sebagai batu loncatan mereka. Perjanjian damai dengan Venezia turut membantu Uthmaniyyah kerana Tentera Laut Uthmaniyyah tidak perlu bertempur dengan Tentera Laut Venezia yang menggerunkan lagi.

Pada Mei 1480, Uthmaniyyah telah melancarkan serangan ke Rhodes tetapi Knights Hospitaller berjaya menangkis serangan Uthmaniyyah walaupun jumlah tentera Uthmaniyyah jauh lebih ramai.